NORMA BAHARU selepas PKP, bersediakah kita dari segi mental dan fizikal?

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Sri Hartamas bersama anggota tentera dari 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menunjukkan plakad peringatan kurangkan pergerakan tidak penting susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini kepada penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya di lebuh raya Kerinchi Link berhampiran Desa Sri Hartamas hari ini.
–foto BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kesan penularan pandemik Covid-19 amat besar bukan sahaja di negara kita yang tercinta Malaysia bahkan seluruh dunia. Ekonomi merudum, sumber pendapatan terjejas teruk akibat perusahaan dan perniagaan yang terpaksa ditutup sementara waktu dan lebih parah ada yang terpaksa gulung tikar. Kerajaan tidak berdiam diri dan terus berusaha menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif dalam usaha membantu mengurangkan dan meringankan beban rakyat dan dalam masa sama merencana pertumbuhan semula ekonomi negara dengan membuka semula sektor-sektor perusahaan utama negara secara berperingkat dan bersyarat.

Namun, rakyat masih belum boleh berlapang dada kerana rantaian penularan pandemik Covid-19 ini belum pulih sepenuhnya dan seandainya mencapai sifar sekalipun kita masih perlu ambil langkah berjaga-jaga kerana jangkitan wabak ini boleh berlaku semula bila-bila masa sekiranya kita mengabaikan penjagaan kesihatan, kebersihan dan keselamatan diri sepertimana saranan kerajaan. NORMA BAHARU, terminologi baharu yang semakin tular dan meniti di bibir setiap masyarakat dunia. Kita semua mungkin akan menjalani kehidupan dengan norma baharu selama kira-kira 6 bulan hingga setahun lebih. Norma baharu bakal wujud di dalam keadaan di mana kita bakal bebas dari PKP namun masih dalam keadaan terkawal dan berpandukan garis panduan yang dapat menjamin keselamatan dan kesihatan bersama dan sudah pasti ianya terletak kepada pilihan diri sendiri untuk mematuhi atau tidak.

Antara saranan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut :-
1) Masih mengamalkan penjarakan sosial pada jarak 1 meter. Tidak perlu berjabat tangan dan berpeluk.
2) Keluar rumah bila keadaan memerlukan sahaja contohnya untuk bekerja, membeli barang keperluan juga berurusan dengan kemudahan penting. Terus pulang ke rumah selepas waktu bekerja.
3) Tidak dibenarkan atau digalakkan menghadiri atau mengendalikan majlis yang melibatkan perkumpulan ramai orang seperti majlis kahwin, konvensyen, ceramah, konvokesyen dan sebagainya.
4) Tidak ke luar negara untuk beberapa tempoh, sehingga negara-negara terbabit atau satu dunia bebas dari Covid-19. Bila agaknya satu dunia akan bebas dari Covid-19? Dikatakan ini mungkin mengambil masa 1-2 tahun.
5) Tidak digalakkan untuk bercuti, berlegar di pusat membeli-belah, pawagam mahupun pasar borong.
6) Sentiasa mengamalkan kebersihan sendiri dengan menggunakan pencuci tangan, penutup muka jika perlu, menutup muka dan mulut jika bersin.
7) Tidak digalakkan melepak di warung , kedai mamak, restoran, restoran makanan segera dan sebagainya. Tiada lagi tontonan bolasepak secara langsung di premis makanan.

NORMA BAHARU ini sudah semestinya memberi impak besar kepada rantaian ekonomi negara bahkan seluruh dunia. Syarikat penerbangan terkesan kerana tiada penerbangan merentas negara, bidang perhotelan terpaksa menanggung kerugian kerana kekurangan pelancong, sektor perusahaan berkaitan pelancongan seperti taman tema dan seumpanya akan lumpuh akibat ketiadaan pengunjung, sektor perniagaan (automobil, kecantikan, hartanah dan sebagainya) merudum kerana pengguna lebih mengutamakan perbelanjaan kepada barang keperluan harian sahaja (sumber makanan dan kesihatan). Selepas tamat waktu PKP, ianya bukanlah titik noktah kerana vaksin untuk Covid-19 masih belum lagi ditemui. Oleh itu risiko jangkitan dan kematian masih tinggi. Tempoh enam bulan yang akan datang, adalah tempoh kritikal yang lebih mencabar di mana rakyat perlu bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi fasa pemulihan ekonomi.

Saranan untuk rakyat:

1- Berjimat sebaik mungkin. Perbanyakkan simpanan dan simpanlah selagi boleh.
2- Hidup dalam bersederhana dari segi makanan, pakaian dan sebagainya. Kurangkan kos perbelanjaan makanan dengan hanya membeli makanan yang perlu sahaja. Jangan bazirkan duit dengan makanan pesanan yang ditempah di luar. Sebaiknya masak di rumah lebih menjimatkan.
3- Jimatkan penggunaan elektrik dan air.
4- Tangguh dahulu pelan percutian sehingga pendapatan mula stabil.
5- Jangan membazirkan wang dengan gadget elektronik yang tidak diperlukan.
6- Kurangkan penggunaan kenderaan untuk menjimatkan kos tol , kos selenggara dan kos minyak.
7- Elakkan pembelian hartanah buat masa ini . Pinjaman pun sukar lulus barangkali dan haruslah diingat bahawa belum tentu lagi pekerjaan yang ada akan masih kekal.

Norma baharu selepas PKP adalah kehidupan baharu yang bakal kita tempuhi. Yang pastinya bukan mudah, namun saranan-saranan berikut adalah sekadar untuk keselamatan nyawa, harta dan masa depan kita sendiri. Pilihan di tangan ANDA. Buatlah pilihan yang terbaik untuk diri dan keluarga tersayang. Senjata utama yang kita ada adalah DOA semoga semua ini berakhir dan ekonomi negara dan dunia kembali pulih.

Leave a Reply