HMetro : 2,000 kenderaan keluar dari Langkawi menjelang Aidilfitri

Langkawi: Sebanyak 2,000 kenderaan dibawa keluar dari pulau ini ke tanah besar oleh pemiliknya yang pulang bercuti sempena Aidilfitri menerusi Dermaga Tanjung Lembong (DTL) di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani, berkata jumlah itu meningkat hampir 18 peratus berbanding tahun lalu.

“Sebanyak 2,000 kenderaan keluar ke tanah besar dalam tempoh lima hari mulai Jumaat lalu iaitu waktu puncak untuk sambut Aidilfitri, berbanding 1,701 dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Kenderaan terbabit dibawa keluar ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis menerusi enam syarikat pengendali kargo dan perkhidmatan feri kenderaan/penumpang (RoRo),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Lembaga Pengarah Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), Maswadi Rashid dan Pengurus Besar Langkawi Port, Muhd Nasir Abdul Aziz menyantuni pengguna kenderaan pada Program Selamat Pulang Perantau di DTL, pada jam 10 pagi.

Ahmad Fuad berkata, jumlah kenderaan dibawa keluar ke tanah besar pada Aidilfitri kali ini adalah tertinggi sejak lima tahun lalu, iaitu 2019 sebanyak 1,279, diikuti 2020 (385), 2021 (596), 2022 (1,626) dan 2023 (1,701).

“Dalam tempoh sama (waktu puncak) sebanyak 1,445 kenderaan dilaporkan akan masuk ke pulau ini menerusi Kuala Kedah dan Kuala Perlis, sekali gus menyaksikan berlaku pertambahan pelancong ke sini pada musim perayaan.

“Malah, sepanjang lima hari selepas Aidilfitri sebanyak 1,434 kenderaan lagi membuat tempahan untuk memasuki pulau ini dan dianggarkan membawa tidak kurang 7,000 pengunjung ke pulau ini dalam tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor berlaku pertambahan kenderaan yang keluar masuk di DTL adalah penyediaan kemudahan Dewan Pelepasan yang lebih selesa dengan dilengkapi tandas, bilik penyusuan bayi dan pengecas gajet.

“Fasiliti baharu untuk kemudahan penumpang dengan keluasan 1,706 meter dan mampu menampung sehingga 250 penumpang pada satu masa ini siap dibina akhir tahun lalu dengan kos RM1.6 juta yang dibiayai LADA,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1078125/2000-kenderaan-keluar-dari-langkawi-menjelang-aidilfitri

Leave a Reply