Aplikasi Pengimbas Kod QR Ketika Memasuki Premis Sepanjang PKPB Digalakkan

Sepertimana kita sedia maklum, ketika ini negara kita di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan secara terkawal sejak 4 Mei lalu. Hampir keseruluhan sektor ekonomi telah dibuka. Pihak kerajaan telah mengeluarkan Standard Operation Procedure (SOP) pembukaan semula sektor ekonomi bagi memastikan kawalan penyebaran virus Covid-19 tetap dilaksanakan. Sebelum ini, dalam SOP pembukaan semula ekonomi, pihak berkuasa menetapkan bahawa semua premis kerajaan dan swasta serta premis perniagaan perlu merekodkan maklumat pekerja atau pelanggan seperti nama penuh, nombor telefon, serta suhu badan setiap individu yang memasuki premis bagi membantu memudahkan pihak frontliner membuat pengesanan kontak dan menyemak semula maklumat sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dilaporkan.

Pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan dalam usaha memudahkan urusan orang ramai dan dalam masa sama mengutamakan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin dan terhindar dari penularan pandemik Covid-19 ini. Inisiatif baru diperkenalkan oleh pihak kerajaan adalah pengimbasan kod QR dimana ianya sudah mula dipraktikkan di peringkat kerajaan negeri bermula Mei lalu dan semakin diperluaskan penggunaannya di setiap sektor ekonomi.

Memetik laporan SELANGORKINI kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi menjejak kontak menggunakan kod QR ketika memasuki premis perniagaan tetapi ia tidak diwajibkan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mengarahkan butiran seperti nama dan nombor telefon sahaja direkodkan jika pengguna tidak mempunyai aplikasi bagi memudahkan urusan jika berlaku kes positif Covid-19.

APAKAH QR CODE?

Apakah QR code atau Kod QR ini? QR adalah singkatan untuk Quick Response atau ‘respon/maklumbalas yang pantas’. Sekiranya kita sering melihat barcode yang biasa dipaparkan pada produk-produk tertentu, kod QR adalah seperti gambar dibawah ini.

Anda pasti pernah melihat QR seperti gambar di atas. Penggunaan kod QR di Malaysia semakin meluas. Contohnya jika ingin check in penerbangan Airasia, anda dikehendaki untuk scan QR code. Dengan menggunakan aplikasi tertentu di telefon bimbit anda, anda dapat mengimbas kod QR tersebut dan mendapat respon tertentu. Pada masa kini, kebanyakan aplikasi kamera pada telefon pintar sudah siap terbina fungsi mengesan QR code. Ini kerana kemajuan teknologi menjangkakan penggunaan QR code akan lebih meluas pada masa akan datang. Namun, bagi pemilik peranti pintar yang tidak mempunyai fungsi pengimbas kod QR siap terbina dalam peranti anda, aplikasi pengimbas kod QR ini boleh dimuat turun di Google Play Store.

Kod QR perlu dicetak dan dipamerkan di laluan masuk utama bagi memudahkan pekerja atau pelanggan membuat imbasan menggunakan peranti pintar masing-masing. Sejurus pekerja atau pelanggan membuat imbasan kod QR berkenaan, maklumat dihantar terus ke dalam google form yang tersedia dan proses mengisi maklumat yang diperlukan diteruskan dan butang hantar diklik bagi mengakhiri proses.

Cadangan penggunaan aplikasi imbasan kod QR ini dilihat lebih berkesan dan selamat kerana tidak melibatkan sentuhan terus pada buku atau pen yang digunakan oleh pelbagai lapisan individu sepertimana yang diamalkan dalam SOP sebelum ini. Bagaimanapun, ianya bukanlah satu kewajiban untuk dilaksanakan sepertimana disebut oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merujuk Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Memanfaatkan kemajuan teknologi yang semakin canggih memudahkan kehidupan seharian kita terutamanya ketika menjalani tempoh PKPB. Sekadar peringatan, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri, memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial. Kita jaga kita!