Utusan : 1,928 kenderaan keluar Langkawi

LANGKAWI: Sebanyak 1,928 buah kenderaan dijangka keluar dari pulau peranginan ini untuk me­nuju ke destinasi masing-masing termasuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri pada minggu ini.

Ahli Lembaga Pengarah Lang­kawi Port Sdn. Bhd., Ahmad Fuad Che Ani berkata, jumlah pergerakan kenderaan itu adalah bagi tempoh lima hari bermula kelmarin.

“Jumlah kenderaan yang keluar ke tanah besar bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini telah meningkat 14 peratus berbanding 1,701 buah kenderaan pada tahun lalu.

“Manakala sebanyak 1,445 kenderaan pula akan memasuki Langkawi bagi tempoh sama untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di sini,” katanya pada Program Selamat Pulang Perantau 2024 di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, di sini semalam.

Tambahnya, sebanyak 6,723 penumpang juga telah menem­pah tiket untuk menaiki feri Roll On Roll Off (Roro) tanpa kende­raan ke tanah besar bagi tempoh itu.

“Kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 8,000 orang dengan mengambil kira penumpang yang membeli tiket secara terus di kaunter. Jadi, untuk keselesaan kami te­lah membina dewan pelepasan bagi kegunaan penumpang di sini yang siap pada Disember lalu.

“Dewan ini mampu memuatkan 250 orang pada satu-satu masa dan boleh memberi keselesaan kepada penumpang untuk menunggu feri semasa waktu puncak musim perayaan,” jelasnya.

Dewan pelepasan seluas 5,600 kaki persegi yang mene­lan kos RM1.6 juta tersebut turut dilengkapi dengan tandas, bilik penyusuan bayi serta ste­sen pengecasan. – UTUSAN

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2024/04/aidilfitri-1928-kenderaan-keluar-langkawi/

Leave a Reply