HMetro : Kalau tak dapat sumbangan, tak pakai baju raya tahun ini

Langkawi: “Kalau tak dapat sumbangan, tak pakai baju raya baharu tahun ini,” kata anak yatim, Muhammad Rizmi Safuan Rahani, 10.

Muhammad Rizmi antara 45 murid keluarga B40, anak yatim dan asnaf yang teruja menerima bantuan Aidilfitri pada Program Sinaran Kasih 2022, di sini, hari ini. Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, bapanya meninggal dunia akibat kanser dua tahun lalu, menyebabkan ibunya, Rosmida Taib, 51, terpaksa menyara dia bersama dua abang dan tiga kakak bersendirian.

“Selepas ayah tiada, makan minum dan belanja sekolah kami bergantung kepada upah ibu yang bekerja di kedai menjual santan. Abang sulung sebagai pemandu lori.

“Memang seronok dapat sumbangan hari ini, saya dapat beli baju raya berwarna biru, songkok, samping, tali pinggang, stokin dan kasut mengikut kehendak sendiri,” katanya yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang.

Turut menerima sumbangan RM150 berkenaan adalah murid autisme, Wan Ahmad Rizqdanny Wan Mohd Fahmy, 9, juga dari SK Kelibang. Program berkenaan adalah anjuran anak syarikat Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) iaitu Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port) dengan penerima sumbangan terdiri daripada murid SK Seri Negeri, SK Kelibang dan SK Sungai Menghulu.

Setiap penerima menerima baucar disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Nasaruddin Abdul Muttalib, yang kemudian diguna bagi membeli baju dan persiapan lain sempena sambutan Aidilfitri bulan hadapan. Nasaruddin berkata, semua murid yang menerima baucar berkenaan dibawa ke pusat beli-belah supaya mereka dapat memilih sendiri baju digemari.

Sumber : HMetro

Leave a Reply