MalaysiaAktif : Anak Perantau Diraikan dalam Program Selamat Pulang Perantau Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024

LANGKAWI, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama anak syarikat Langkawi Port Sdn. Bhd. serta agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di Dermaga Tanjung Lembung telah meraikan warga Langkawi yang keluar ke Tanah Besar dalam Program Selamat Pulang Perantau sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang telah memasuki siri ke 11 pada tahun 2024 yang diadakan di Laluan Jentayu, Kompleks Dermaga Tanjung Lembung di sini semalam.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pengurusan) LADA, Ahmad Fuad Che Ani @ Abdul Ghani antara objektif penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada pemandu kenderaan dan penumpang yang dianggap sebagai sebahagian daripada pelanggan Langkawi Port Sdn Bhd dan menambah keceriaan serta sentuhan kepada warga Langkawi yang akan ke Tanah Besar.

“Pada hari ini sebanyak 352 buah kenderaan dan 1,380 orang penumpang yang akan keluar menggunakan perkhidmatan syarikat perkapalan yang beroperasi di Dermaga Tanjung Lembung,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Fuad, statistik menunjukkan bermula pada 5 hingga 9 April 2024 sebanyak 1,928 unit kenderaan akan keluar ke Tanah Besar menjelang musim perayaan Aidilfitri 2024 manakala bagi kenderaan yang akan memasuki Langkawi bagi tempoh 5 hingga 14 April 2024 adalah sebanyak 2,879 unit kenderaan.

“Ini menunjukkan peningkatan penumpang dan orang ramai yang akan berkunjung ke Pulau Langkawi yang menjadi destinasi pelancongan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” ujarnya.

Salah seorang pemandu yang ditemui oleh pihak media, Muhamad Hafis Abdull Radzar, 34, berkata, beliau sekeluarga berasa sangat teruja untuk pulang ke kampung halaman di negeri Kelantan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sangat menghargai apa yang pihak penganjur lakukan kepada para perantau pada program kali ini.

“Program seperti ini sangat bagus kerana pihak Langkawi Port Sdn Bhd. menghargai dan meraikan para pemandu dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat perkapalan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dan berharap program ini akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya kepada pihak media sempena Program Selamat Pulang Perantau 2024 yang diadakan di Laluan Jentayu dan Balai Perlepasan Kompleks Dermaga Tanjung Lembung disini.

Turut hadir bersama adalah Pengurus Langkawi Port Sdn Bhd, Haji Muhd Nasir Abdul Aziz dan turut disertai oleh Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan yang beroperasi di Dermaga Tanjung Lembung.

Sumber : https://malaysiaaktif.my/2024/04/anak-perantau-diraikan-dalam-program-selamat-pulang-perantau-sempena-sambutan-hari-raya-aidilfitri-2024/

Leave a Reply